26 MEI 2009, selasa, anakku ditahan di wad Hospital Likas Kota Kinabalu sekali lagi. kali ini darahnya adalah serendah 5.6. Suatu keadaan yang kritikal menurut doktor. Semalam kami sekeluarga sudah berdoa khusus untuk dia dan aku meletakkan sepenuh kepercayaanku pada Tuhan. Telah lama aku dan suamiku bergumul dengan penyakit Thallasemia yang menyerang satu-satunya anak kami ini. Kami pernah berada dalam keadaan yang sungguh sukar, pedih dan bingung ketika pertama kali dimaklumkan tentang penyakit yang menyerang anak ini.Pelbagai pengalaman dan ujian selama lima tahun sejak anak kecil kami disahkan menghidap thallasemia hingga hari ini dan Tuhan tidak pernah mengecewakan kami. Dia tetap setia.
Suamiku mengambil aku di sekolah tempat aku bertugas untuk ke hospital. Syukur kepada Tuhan Yesus kerana anakku tetap bertenaga walaupun tahap darahnya begitu rendah. Seluruh tubuhnya pucat, mata cengkung tak bermaya. Hatiku terluka melihat keadaannya.Selasa, Rabu, Khamis... bekalan darah yang sesuai untuk dia masih belum ada. Keadaan anakku semakin membimbangkan. Kemudian tiba-tiba doktor memberitahu bahawa sebenarnya anak saya telah mempunyai bekalan darah yang sesuai tetapi darah itu sudah tamat tempoh kerana tidak digunakan. Mendengar hal itu....perasaan marah, geram, sakit hati, tersisih dan tidak puas hati bekecamuk dalam dadaku.Aku tahu suamiku juga sama. kerana kecuaian manusia anakku berada dalam keadaan kritikal seperti ini. Iblis cuba menyerang kami melalui ketidakadilan dan kecuaian manusia sehingga kami hampir hilang penguasaan diri. Aku mula terfikir untuk membawa hal ini ke pihak atasan hospital. Aku bahkan ingin membuat aduan yang mungkin akan menjejaskan nama baik hospital ini.
Saat aku memikirkan niatku itu, aku tahu bahawa tidak pantas bagi aku sebagai orang yang mengenal Tuhan Yesus untuk menjadi orang yang cerewet seolah-olah aku tidak tahu bersyukur dan berterima kasih. Tidak baik jika aku bertindak di dalam amarahku. Pun begitu, hatiku terasa semakin panas...aku mula berkata kepada suamiku... apakah sebabnya Tuhan tidak menjawab doaku untuk anak ini? waktu seperti ini, jiwaku bergelora dalam diriku. Aku bergumul .... dan aku merasa sangat lelah .... aku berseru kepada Tuhan, aku perlukan Tuhan untuk memberi aku peneguhan dan keyakinan. Aku katakan padaNya, "Tuhan...aku mahu melihat kemuliaanMu"Aku mahu menang dalam peperangan rohani ini.
Waktu aku sedang berperang dengan diriku ... datang seorang lelaki dengan wajah lembut, ceria ke arah kami. Percakapan dan rungutanku terhenti kerana kedatanganku. Dia tersenyum dan bertanya kepada kami apakah yang sedang terjadi. Aku dan suami tertanya-tanya siapakah orang ini sehingga kami merasa begitu terbuka menyatakan semua rasa marah dan tidak puas hati dalam hati kami. Terutamanya aku yang tidak henti-henti bercakap. Setiap perkataan meluncur lancar dari bibirku sehingga aku merasakan tidak ada lagi rasa tidak puas hati terhadap pihak hospital dalam diriku. semuanya telah aku katakan. Dia menjawab dengan suara lembut .... "kamu harus banyak-banyak bersabar, ...Jawapannya walaupun ringkas, telah dipakai oleh Tuhan untuk memujuk dan menyejukkan hatiku. Aku merasa seolah ada kuasa kasihNya menyelimuti aku dengan kehangatan dan kedamaian. Kemudian dia memperkenalkan dirinya sebagai pastor dari sebuah gereja di kawasan berdekatan. Dia membawa kami dalam doa.
Betapa aku bersyukur kepada Tuhan kerana pada hari ini,khamis-28.05.2009, Tuhan telah menunjukkan bahawa Dia peduli kepada kami. Dia nyatakan kasihnya dengan cara yang cukup sederhana tetapi sungguh berkesan bagi aku. Terpujilah nama Tuhan. Selepas pastor itu meninggalkan kami. Doktor datang dan mengatakan bahawa sudah ada darah yang sesuai untuk anak kami dan akan dimasukkan dalam tubuhnya petang nanti. Sekali lagi aku menyesali perbuatanku yang kurang sabar. Dan di atas semua itu.... aku bersyukur dan bersyukur lagi kepada Tuhan Yesus. Aku tahu Dia peduli kepada kami. Satu hal yang kuyakini... semua rencanaNya indah. indah pada waktuNya.
No comments:
Post a Comment